Program GPS X KPDN: 'Strike Showdown'

Program GPS X KPDN: 'Strike Showdown'

TUNJONG, 18 Disember - Program GPS X KPDN: Strike Showdown telah berlangsung dengan jayanya pada 1 Disember 2025 (Isnin), bertempat di Mydin Tunjong Hypermarket. Program ini merupakan anjuran Kelab Gerakan Pengguna Siswa (GPS) UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Kelantan. Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan antara pelajar, agensi kerajaan dan komuniti, malah ia menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, kerjasama dan gaya hidup aktif melalui aktiviti berbentuk pertandingan.

Objektif program ini adalah untuk menggalakkan penyertaan komuniti dalam aktiviti riadah, membina jaringan kerjasama strategik antara UiTM dan KPDN, meningkatkan kesedaran pengguna melalui pendekatan santai, serta memberi peluang kepada pelajar mengasah kemahiran komunikasi, kepimpinan dan pengurusan melalui penganjuran program berskala besar. Program ini telah berjaya menarik penyertaan sebanyak 17 pasukan yang terdiri daripada pelajar IPT, pelajar sekolah serta staf KPDN dari beberapa cawangan, sekali gus menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan.

Dari segi penghargaan, pihak penganjur telah menyediakan dua kategori hadiah, iaitu Kategori Kumpulan dan Kategori Individu. Bagi kategori kumpulan, tempat pertama hingga ketiga menerima hamper, wang tunai dan medal, manakala tempat keempat hingga ketujuh belas menerima hamper berdasarkan kedudukan masing-masing. Bagi Kategori Individu, anugerah Lelaki Terbaik dan Perempuan Terbaik disediakan bagi tempat pertama hingga ketiga, dan setiap penerima menerima wang tunai sebagai tanda penghargaan. Pihak penganjur juga menyediakan hadiah kepada pemenang kumpulan paling meriah dan juga individu yang paling rendah kutipan mata balingan.

Secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektif yang dirancang dan berjaya mewujudkan suasana yang meriah, sihat serta penuh kerjasama antara semua pihak yang terlibat.

Penyedia Laporan:
Saudari Syazwani Alieya Zakaria
Setiausaha
Kelab Gerakan Pengguna Siswa