Pengajaran Kolaboratif Bersama Pakar Industri Alumni UiTMCK, Jabatan Seni Reka Logam Halus, FSSR

MACHANG, 7 Julai – Jabatan Seni Reka Logam Halus, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah menganjurkan sesi pengajaran kolaboratif bersama pakar industri yang juga merupakan Alumni UiTMCK iaitu Encik Wan Muhammad Faris Wan Mohd Azemi sebagai usaha memperkasa pendidikan berasaskan amalan industri pada 24 Jun 2025. Inisiatif ini bertujuan untuk mengintegrasikan pengetahuan teori dan amalan praktikal dalam bidang seni reka logam, dengan mengambil kira keperluan sebenar industri semasa. Kolaborasi ini memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar tentang perkembangan dan cabaran dalam industri Seni Reka Logam Halus, di samping membolehkan mereka membina rangkaian profesional dengan alumni yang telah berjaya dalam kerjaya masing-masing.

Encik Wan Muhammad Faris merupakan seorang tukang emas profesional yang kini berkhidmat di syarikat Cindo Jewels, sebuah syarikat pembuatan dan reka bentuk barang kemas yang berdaya saing dalam industri. Beliau merupakan alumni Diploma Seni Reka Logam Halus, UiTM Cawangan Kelantan, dan telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang pertukangan logam, khususnya dalam penghasilan barang kemas halus dan eksklusif.

Antara objektif utama sesi ini ialah meningkatkan kefahaman pelajar terhadap aplikasi sebenar kemahiran logam dalam industri kreatif, memberi peluang kepada pelajar berinteraksi dan mendapat tunjuk ajar secara langsung daripada alumni berpengalaman serta mempromosikan semangat alumni kembali menyumbang kepada pembangunan akademik dan kemahiran pelajar di kampus.

Sesi pengajaran kolaboratif bagi kod kursus JMD246 (Pembuatan Rekabentuk Barang Kemas/ Jewellery Design Fabrication) merupakan sesi perkongsian berkaitan dengan teknologi ikatan batu permata dan kesesuaian potongan batu permata yang boleh dipadankan di dalam sesuatu rekaan barang kemas. Sesi ini telah dijalankan secara dalam talian menggunakan platform Google Meet melibatkan seramai 4 orang pensyarah dan juga 43 orang pelajar daripada tiga kumpulan pelajar Program Seni Reka Logam Halus, FSSR, UiTMCK.

Melalui pendekatan pengajaran kolaboratif ini, diharapkan wujudnya kesinambungan ilmu antara institusi dan industri, seterusnya memperkukuh kecemerlangan akademik serta kebolehpasaran graduan dalam bidang seni reka logam halus. Kolaborasi ini juga telah membuktikan bahawa penglibatan alumni dalam aktiviti akademik mampu menjadi jambatan yang kukuh antara institusi dan industri. Ia bukan sahaja memperkasa kandungan pembelajaran agar lebih relevan dan berdaya saing, malah mengukuhkan jaringan profesional yang bermanfaat untuk pembangunan kerjaya pelajar.

Penyedia:
Ts. Rozita Shamsuddin
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis Dan seni Reka

Ts. Nur Syafinaz Mohd Anuar
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis Dan seni Reka

Encik Muhamad Shafiq Muda
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis Dan seni Reka 

Ts. Mohd Zamani Daud
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis Dan seni Reka