‘Exploring Accounting: Insight and Beyond’

Program ‘Exploring Accounting: Insight and Beyond’  telah dianjurkan oleh mahasiswa semester 6 kursus AUD689, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Persatuan Akademik Members of Bachelor in Accountancy Society (MemBACCs), Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan, PricewaterhouseCoopers International Limited (PwC Malaysia) dan Binder Dijker Otte (BDO Malaysia). Program ini ditaja oleh Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) dan Man Besi Resources. Program telah berlangsung pada 26 Jun hingga 28 Jun 2024.

Tujuan program ini adalah untuk mencipta platform di mana peserta dapat berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang audit dan perakaunan, serta bidang lain. Program ini juga menjadi panduan kerjaya mereka sebelum memulakan latihan industri. Tambahan lagi, program ini bertujuan untuk memberi semangat dan motivasi kepada peserta sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan yang sebenar.

Hari pertama program, peserta dibawa ke PwC Malaysia. Program dimulai dengan sesi penerangan ringkas mengenai PwC Malaysia sebagai pengenalan kepada para peserta. Slot diteruskan dengan perkongsian ilmu daripada staf PwC Malaysia yang bertajuk “From Theory to Practice: Real-World Audit Challenges with PwC Malaysia”. Para peserta diberikan pendedahan mengenai kehidupan sebenar seorang juruaudit dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh mereka. Di samping itu, para peserta juga diberikan tips untuk menguasai kursus AUD689 dengan cemerlang. PwC Malaysia juga memberi galakan kepada para peserta untuk menyambung pengajian mereka dalam ACCA kerana ia dapat membuka peluang kerjaya yang lebih cerah kepada para peserta. Kelayakan ACCA adalah jalan terbaik untuk membina kerjaya dalam bidang perakaunan dan kewangan.

Program diteruskan dengan networking session bersama staf PwC Malaysia. Sesi ini membolehkan para peserta untuk bertanyakan tips dan pengalaman berkaitan kerjaya dalam bidang perakaunan terutamannya pengauditan. Program diteruskan dengan sesi penyampaian cenderamata daripada pihak UiTM Cawangan Kelantan kepada PwC Malaysia.

Program lawatan ke PwC Malaysia diakhiri dengan slot office tour di mana staf PwC Malaysia membawa para peserta untuk melawat dan melihat ruang kerja di syarikat tersebut. Pada masa yang sama, para peserta diberikan peluang untuk mengambil gambar bersama staf PwC sebagai kenang-kenangan. Semua peserta dilihat sangat teruja dan lebih bersemangat untuk belajar dengan bersungguh-sungguh agar mereka dapat menempatkan diri di PwC Malaysia semasa latihan industri kelak.

Hari kedua program diteruskan dengan lawatan ke Syarikat Binder Dijker Otte (BDO Malaysia) yang terletak di Kuala Lumpur. Program dimulai dengan pengenalan dan penerangan BDO Malaysia sebelum beralih ke slot seterusnya. Slot seterusnya disambung dengan slot “Auditor Experience & Job Opportunities” oleh Cik Prianka Jothi Ganes, Assistant Manager of Talent Recruitment Team. Para peserta diberikan pendedahan mengenai peluang pekerjaan dan syarat-syarat yang perlu dipenuhi sekiranya ingin menempatkan diri di syarikat itu.

Sesi perkongsian bersama Encik Syed Firdaus Syed Nasir, Executive in Business Services & Outsourcing yang juga merupakan bekas graduan daripada Universiti Teknologi MARA. Beliau berkongsi mengenai latar belakang pendidikan beliau setelah menamatkan pengajian sehingga dilantik sebagai Pegawai Eksekutif di syarikat BDO Malaysia.

Slot ini juga memberi peluang kepada para peserta untuk bertanyakan pengalaman dan cabaran yang dihadapi sepanjang bertugas di BDO Malaysia. Slot disambung dengan slot office tour. Slot ini telah memberikan gambaran kepada para peserta mengenai suasana kerja di syarikat itu seterusnya menyuntik semangat kepada para peserta untuk belajar dengan bersungguh-sungguh agar dapat menikmati pelbagai faedah yang bakal diperoleh sekiranya berjaya menempatkan diri di syarikat itu. Sesi kahoot telah dijalankan bersama para peserta untuk menilai tahap pengetahuan para peserta setelah selesai sesi penerangan dan perkongsian daripada pihak mereka. Pihak BDO Malaysia telah memberikan hadiah kepada peserta yang telah mendapat markah tertinggi pada sesi kahoot tersebut.

Setelah selesai sesi kahoot, para peserta diberikan peluang untuk mengadakan sesi temu bual bersama staf BDO Malaysia. Kesempatan ini digunakan oleh para peserta untuk bertanyakan dengan lebih lanjut mengenai pengalaman dan cabaran sepanjang bergelar juruaudit dan akauntan kepada staf BDO Malaysia. Para peserta memperoleh pelbagai maklumat dan tips sepanjang sesi temu bual ini.

Sesi terakhir adalah sesi penyampaian cenderamata yang telah disampaikan oleh Penasihat Program kepada wakil staf BDO Malaysia. Program ini telah berjalan dengan lancar dan memberikan impak yang positif kepada para peserta. Banyak ilmu pengetahuan baru yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung sebagai persediaan peserta untuk menjalani latihan industri nanti. Selain itu, para peserta juga mengharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan kerana program seperti ini dapat membuka minda para peserta untuk lebih bersedia dengan pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi pada masa akan datang.

Penyedia Laporan:
Saudari Nurin Batrisyia Akmal Mohamad Nazarudin
Fakulti Perakaunan

Saudari Nur Ameera Nafesa Muhamad Rashidi
Fakulti Perakaunan

Puan Syuhaila Razak
Pensyarah Kanan
Fakulti Perakaunan