Kunjungan Hormat Dekan dan Pengurusan Tertinggi Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) UiTM Shah Alam ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 21 Ogos - Pihak UiTM Cawangan Kelantan telah menerima kunjungan rasmi Dekan Fakulti Sains Komputer (FSKM) UiTM Shah Alam, Prof. Ts. Dr. Haryani Haron bersama Timbalan Dekan Akademik, Prof. Madya Dr. Norjansalika Janom dan Ketua Pusat Pengajian Statistik Prof. Madya Dr. Sayang Mohd Deni pada 9 Ogos 2022. Kunjungan mereka disambut oleh para pensyarah FSKM. Tetamu terlebih dahulu dibawa untuk ke sesi bergambar bersama Rektor UiTMCK dan menandatangani buku pelawat di hadapan Rektor secara rasmi sebagai tanda kenangan kehadiran ke UiTMCK. Kunjungan Dekan ke sini adalah untuk urusan temuduga pensyarah tetap bidang Matematik. Pada masa yang sama, Dekan bersama rombongannya daripada UiTMSA turut mengambil peluang mengadakan perbincangan lanjut dengan barisan Koordinator setiap jabatan di bawah FSKM UiTMCK. 

Sesi tersebut telah dijalankan sebagai ruang menyalurkan maklumat dua hala daripada pihak pengurusan tertinggi FSKM UiTMSA dan pihak pensyarah FSKM UiTMCK. Pelbagai perkara telah dijadikan agenda perbincangan yang merangkumi aspek pengurusan hal ehwal akademik, pelajar, serta penyelidikan. Selain itu, pertemuan tersebut juga dijadikan ruang bagi mengeratkan lagi hubungan diantara kedua-dua belah pihak.

 

Dekan bersama rombongan turut singgah di UiTM Kampus Kota Bharu di mana berkesempatan melawat Big Data Lab dan mengadakan pertemuan ringkas dengan pensyarah FSKM yang bertugas di UiTM Kampus Kota Bharu.

Semoga kunjungan rasmi ini akan menjadi titik tolak ke arah realisasi dan memberi semangat kepada barisan pensyarah FSKM di UiTM Cawangan Kelantan untuk terus menyumbang dan berbakti.

Penyedia Laporan:

Dr. Muhammad Firdaus Mustapha

Pensyarah Kanan

Fakulti Sains Komputer dan Matematik