Kunjungan Hormat Presiden Kakitangan Akademik UiTM (MITASA) Shah Alam ke UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 21 Ogos - Pihak UiTM Cawangan Kelantan telah menerima kunjungan hormat Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA) Shah Alam, Encik Ahmad Faisal Mohamed Fiah dan Pengurusan Tertinggi MITASA Shah Alam pada 14 Ogos 2022. Tetamu terlebih dahulu dibawa untuk ke sesi bergambar bersama Rektor dan menandatangani buku pelawat di hadapan Rektor secara rasmi sebagai tanda kenangan kehadiran ke UiTM Cawangan Kelantan. Kunjungan Presiden bersama Kepimpinan Pengurusan Tertinggi MITASA Shah Alam adalah untuk mengadakan sesi perbincangan isu-isu semasa yang melibatkan warga staf pensyarah UiTM Cawangan Kelantan.

Pihak MITASA Shah Alam dan MITASA UiTM Cawangan Kelantan turut mengadakan pertemuan bersama wakil setiap fakulti. Sesi pertemuan ini diwakili oleh Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah yang merupakan Penyelaras MITASA UiTM Cawangan Kelantan. Penyelaras MITASA UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah turut berkongsi bersama-bersama Presiden MITASA dan Kepimpinan Pengurusan Tertinggi kepada wakil setiap fakulti tentang latar belakang dan peranan yang boleh dimainkan MITASA bagi membantu setiap warga pensyarah daripada pelbagai aspek seperti kenaikan pangkat, isu MyATP dan komponen pelaksanaannya, isu salah laku pensyarah, isu keberadaan pensyarah dan sebagainya.

Sebagai sebuah kesatuan sekerja yang mewakili warga pensyarah, MITASA sentiasa berusaha memperbaiki kebajikan pensyarah melalui Mesyuarat Penyelarasan bersama antara Kepimpinan Pengurusan Tertinggi UiTM dengan MITASA. MITASA menyuarakan setiap isu dan permasalahan yang dihadapi melalui beberapa saluran penyelesaian dengan seadanya, malahan MITASA Shah Alam menyambut baik cadangan daripada warga pensyarah UITM Cawangan Kelantan untuk mengadakan penambahbaikan produktiviti dan kualiti kerja untuk manfaat kedua-dua belah pihak iaitu pihak pengurusan kepimpinan dan warga pensyarah UiTM Cawangan Kelantan.

Kunjungan dijalankan sebagai ruang menyalurkan maklumat dua hala daripada pihak pengurusan tertinggi MITASA dan pihak pensyarah UiTM Cawangan Kelantan. Pelbagai perkara telah dijadikan agenda perbincangan yang merangkumi aspek pengurusan hal ehwal akademik, pelajar, penyelidikan dan sebagainya. Selain itu, pertemuan tersebut juga bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua belah pihak.

Penyedia Laporan:

Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah

Penyelaras

MITASA UiTM Cawangan Kelantan