KOTA BHARU, 16 Jun – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu membuktikan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial apabila berjaya menghimpunkan seramai 170 peserta dalam Kempen Derma Darah Perdana 2026.
Daripada jumlah kehadiran tersebut, seramai 139 penderma berjaya menderma darah, manakala 31 peserta tidak dapat meneruskan proses pendermaan setelah melalui saringan kesihatan yang ditetapkan oleh pihak perubatan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda, Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kesihatan. Turut hadir ialah YBhg. Dato’ Dr. Mohd Azman Yacob, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan; YBrs. Dr. Aminah Rusmin Mohamad Ghazali, Timbalan Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II); YBrs. Encik Mohd Zulhazmi Hassan, Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat HRPZ II; serta Ahli-ahli Lembaga Pelawat HRPZ II.
Wakil dari UiTM Cawangan Kelantan ialah YBrs. Prof. Madya Dr. Khalid Abdul Wahid, Penolong Rektor UiTM Kampus Kota Bharu, barisan Ketua Pusat Pengajian, pegawai kanan universiti serta kepimpinan pelajar.
Program yang berlangsung di UiTM Kampus Kota Bharu ini merupakan hasil kerjasama erat antara Ahli Lembaga Pelawat HRPZ II, Jabatan Perubatan Transfusi HRPZ II dan UiTM Cawangan Kelantan. Penganjuran program ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendermaan darah, malah membantu memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi untuk keperluan pesakit di hospital.
UiTM Cawangan Kelantan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma, sukarelawan, petugas kesihatan dan jawatankuasa pelaksana yang telah menjayakan program ini. Setiap titisan darah yang didermakan membawa harapan baharu dan berpotensi menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
Penyedia Laporan:
Dr. Maznah Abdullah
Unit Komunikasi korporat
UiTM Kampus Kota Bharu

