MACHANG, 15 Mac – Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi melalui penglibatan dalam sesi Collaborative Teaching bersama Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Indonesia yang telah berlangsung pada 12 Mac 2026 (Khamis) secara dalam talian.
Sesi ini menampilkan Puan Rabaatul Azira Hassan dari Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Kelantan sebagai penceramah bersama Dr. M. Shareza Hafiz dari UMSU, dengan membawakan topik “Basic Accounting and Budgeting: Tips and Tricks for Preparing Company Financial Reports and Budgeting”. Program ini melibatkan penyertaan pelajar daripada kedua-dua institusi dan berjaya mewujudkan persekitaran pembelajaran interaktif merentas sempadan.
Dalam perkongsian tersebut, Puan Rabaatul Azira memberi penekanan kepada pendekatan praktikal dalam penyediaan laporan kewangan syarikat serta perancangan belanjawan. Antara aspek utama yang diketengahkan termasuk pemahaman struktur laporan kewangan, teknik penyediaan belanjawan yang sistematik, serta strategi mengenal pasti dan mengelakkan kesilapan lazim dalam pelaporan kewangan.
Pendekatan pengajaran berasaskan tips and tricks yang digunakan telah membantu meningkatkan kefahaman pelajar secara lebih aplikatif, di samping menggalakkan pemikiran analitikal dalam menyelesaikan isu berkaitan pelaporan kewangan. Interaksi dua hala antara pelajar Malaysia dan Indonesia turut memperkayakan pengalaman pembelajaran melalui pertukaran perspektif dalam konteks perniagaan dan pendidikan yang berbeza.
Penglibatan dalam program ini memperlihatkan komitmen UiTMCK dalam memperluas kolaborasi akademik antarabangsa serta memperkasa kualiti pengajaran melalui perkongsian kepakaran. Inisiatif ini juga menyokong usaha universiti dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global dan berupaya mengaplikasikan pengetahuan dalam konteks sebenar.
UiTM Cawangan Kelantan merakamkan penghargaan kepada pihak UMSU atas kerjasama yang terjalin dan berharap hubungan strategik ini akan terus diperkukuh melalui pelbagai inisiatif pengajaran, penyelidikan dan inovasi pada masa hadapan.
Penyedia Laporan:
Puan Rabaatul Azira Hassan
Pensyarah
Fakulti Perakaunan

