Bicara Alumni & Taklimat Percukaian: Rahsia Jimat Cukai

Bicara Alumni & Taklimat Percukaian: Rahsia Jimat Cukai

MACHANG, 16 Mac – Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kelantan (UiTMCK) dengan kerjasama Bahagian Pentadbiran serta Perpustakaan Tengku Anis kampus ini telah menganjurkan program Bicara Alumni dan Taklimat Percukaian bertajuk “Rahsia Jimat Cukai” secara dalam talian melalui platform Google Meet pada 16 Mac 2026 (Isnin) dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Program ini menampilkan Puan Norazida Irani Ghazali, alumni Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Kelantan yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah HASiL Kelantan, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) sebagai penceramah jemputan. Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan kepada warga universiti mengenai pengurusan percukaian individu serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pematuhan terhadap peraturan percukaian negara.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Majlis diikuti bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan pengenalan program oleh Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, Dr. Nik Zam Nik Wan. Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa penganjuran Bicara Alumni merupakan platform penting bagi membolehkan alumni berkongsi pengalaman profesional serta kepakaran industri dengan warga universiti, di samping memperkukuh hubungan antara alumni dan warga Fakulti Perakaunan.

Dalam sesi perkongsian utama, penceramah menerangkan beberapa aspek penting berkaitan pengurusan percukaian individu, termasuk kaedah memanfaatkan pelepasan cukai yang disediakan oleh kerajaan serta langkah mengelakkan penalti cukai. Beliau turut menekankan kepentingan membuat pengisytiharan cukai secara tepat mengikut peraturan yang ditetapkan oleh LHDN. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 1,483 orang peserta, terdiri daripada 1,466 staf UiTM, 3 pelajar UiTM serta 14 peserta awam.

Program diakhiri dengan sesi soal jawab interaktif yang memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan isu percukaian secara langsung daripada penceramah. Secara keseluruhannya, program ini berjaya meningkatkan kefahaman peserta mengenai pengurusan cukai yang lebih berkesan di samping memperkukuh hubungan antara alumni dan komuniti universiti.

Penyedia Laporan:
Puan Rabaatul Azira Hassan
Pensyarah
Fakulti Perakaunan
UiTM Cawangan Kelantan