Hari Induksi Pelajar Pascasiswazah Baharu UiTM Cawangan Kelantan Sesi 20262 Berlangsung dengan Meriah

Hari Induksi Pelajar Pascasiswazah Baharu UiTM Cawangan Kelantan Sesi 20262 Berlangsung dengan Meriah

KOTA BHARU, 15 Mac – Pusat Pengajian Siswazah (PPS), UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Program Hari Induksi Pelajar Pascasiswazah Baharu Sesi 20262 yang berlangsung di Dewan Latihan UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu pada 14 Mac 2026. Program ini diadakan bagi memberikan pendedahan awal kepada pelajar baharu mengenai pengurusan pengajian, kemudahan universiti serta aspek akademik yang perlu diketahui sepanjang tempoh pengajian mereka.

Seramai 64 orang pelajar pascasiswazah baharu telah terlibat dalam program ini. Bagi memastikan penyertaan yang lebih menyeluruh, sesi induksi turut dilaksanakan secara atas talian bagi memberi peluang kepada pelajar yang tidak dapat hadir secara fizikal untuk mengikuti sesi tersebut. Program dimulakan dengan Taklimat Pusat Pengajian Siswazah yang disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Halida Haziaton Mohd Noor, Ketua Pusat Pengajian Siswazah.

Dalam sesi tersebut, beliau memperkenalkan peranan PPS serta memberi penerangan berkaitan struktur pengurusan, peraturan pengajian serta hala tuju pengajian pascasiswazah di UiTM Cawangan Kelantan. Seterusnya, Taklimat Hal Ehwal Akademik telah disampaikan oleh Encik Mohammad Syahrul Ashraff Suhaidi, Pegawai Eksekutif, yang menerangkan perkara-perkara berkaitan pengurusan akademik pelajar termasuk prosedur pendaftaran kursus, keperluan pengajian serta garis panduan akademik yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh pengajian.

Program diteruskan dengan Taklimat Perpustakaan oleh Puan Rosmariyati Ab Rahman, Pustakawan Kanan, yang memperkenalkan kemudahan serta perkhidmatan perpustakaan yang boleh dimanfaatkan oleh pelajar pascasiswazah dalam menyokong aktiviti pembelajaran dan penyelidikan. Selain itu, Taklimat Kewangan turut disampaikan oleh Encik Saifful Nazri Md Nazir, Penolong Akauntan Kanan, yang memberi penerangan mengenai urusan pembayaran yuran serta perkara berkaitan kewangan pelajar. Dalam masa yang sama, para Koordinator Program iaitu Dr. Hatinah Abu Bakar, Dr. An Nur Nabila Ismail dan Dr. Junaidah Hanim Ahmad turut mengambil peluang untuk menyampaikan taklimat ringkas kepada pelajar berkaitan program pengajian masing-masing serta memberikan panduan awal bagi memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan keperluan pengajian pascasiswazah.

Penganjuran program ini diharap dapat membantu pelajar baharu memahami struktur pengurusan pengajian pascasiswazah serta memanfaatkan kemudahan yang disediakan oleh universiti. Program ini juga menjadi platform penting dalam membina hubungan awal antara pihak pengurusan PPS dan pelajar bagi memastikan perjalanan pengajian mereka dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.

Penyedia Laporan:
Encik Mohammad Syahrul Ashraff Suhaidi
Pegawai Eksekutif
Pusat Pengajian Siswazah
UiTM Cawangan Kelantan