'Global Vision, Local Voice'': Kreativiti 180 Pelajar Terserlah dalam Pameran Akhir Diploma UiTM Cawangan Kelantan

'Global Vision, Local Voice'': Kreativiti 180 Pelajar Terserlah dalam Pameran Akhir Diploma UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 12 Mac — Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan Kampus Machang telah menganjurkan Pameran Semester Akhir bagi pelajar Diploma Semester 05 pada 11 hingga 12 Februari 2026. Pameran ini mengangkat tema “Global Vision, Local Voice”, yang menzahirkan aspirasi pelajar untuk meneroka idea kreatif yang bersifat global tanpa mengabaikan identiti serta nilai tempatan. Program ini menjadi platform penting bagi pelajar mempamerkan hasil kreativiti dan kemahiran yang telah dibangunkan sepanjang tempoh pengajian mereka.

Majlis perasmian pameran telah disempurnakan secara maya oleh Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan terhadap komitmen pelajar dan pensyarah dalam menjayakan pameran ini serta menekankan kepentingan penghasilan karya seni dan reka bentuk sebagai medium komunikasi budaya, inovasi dan pemikiran kritis dalam masyarakat kontemporari.

Pameran ini menghimpunkan hasil kerja kreatif daripada seramai 180 orang pelajar Diploma Semester 5 yang mengikuti pengajian dalam empat bidang pengkhususan yang ditawarkan di UiTM Cawangan Kelantan, iaitu Seni Grafik dan Media Digital, Seni Reka Tekstil, Seni Reka Logam Halus serta Seni Halus. Sepanjang tempoh pengajian semester ini bermula dari Oktober 2025 hingga Februari 2026, para pelajar telah menghasilkan sebanyak 575 karya yang mencerminkan eksplorasi idea, kemahiran teknikal serta kepekaan estetik dalam bidang pengkhususan masing-masing. Setiap karya yang dipamerkan memperlihatkan keunikan pendekatan visual serta kekuatan elemen reka bentuk yang mencerminkan perkembangan artistik pelajar dalam persekitaran akademik.

Sepanjang dua hari penganjurannya, pameran ini berjaya menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat. Antara pengunjung yang hadir termasuklah pelajar dan guru dari beberapa buah sekolah menengah di sekitar daerah Machang seperti SMK Hamzah 2, SMK Pangkal Meleret, SMK Padang Kala, SMK Sultan Yahya Petra 1 dan SMK Bukit Jawa. Selain itu, pameran ini turut menerima kunjungan murid-murid sekolah rendah, antaranya dari SK Bukit Tiu dan SK Kutan, Kota Bharu. Kehadiran pelajar sekolah ini bukan sahaja memberi pendedahan awal terhadap bidang seni dan reka bentuk, malah turut membuka ruang inspirasi kepada generasi muda untuk meneroka potensi kreatif mereka pada masa hadapan.

Di samping itu, pameran ini turut dikunjungi oleh wakil industri, pensyarah, staf pengurusan universiti serta komuniti luar yang berminat terhadap perkembangan seni dan reka bentuk semasa. Kehadiran ibu bapa pelajar juga menambah kemeriahan suasana pameran apabila mereka hadir bagi meraikan kejayaan anak-anak dalam menyiapkan karya masing-masing. Sokongan moral ini secara tidak langsung menjadi sumber motivasi kepada pelajar untuk terus berkarya dan mengembangkan potensi mereka dalam bidang seni kreatif.

Secara keseluruhannya, pameran ini bukan sahaja berperanan sebagai platform penilaian akademik, malah menjadi medium perkongsian ilmu, kreativiti dan pengalaman antara pelajar, masyarakat serta pihak industri. Penganjuran Pameran Semester Akhir ini membuktikan bahawa pendidikan seni di UiTM Cawangan Kelantan terus komited dalam melahirkan graduan yang kreatif, berdaya saing dan mampu menyuarakan identiti tempatan dalam konteks global. Melalui tema “Global Vision, Local Voice”, para pelajar berjaya memperlihatkan bahawa seni dan reka bentuk mampu menjadi wadah penting dalam memperkukuh hubungan antara budaya, komuniti dan inovasi masa hadapan.

Penyedia Laporan:
Ts. Emilia Abdull Manan
Pensyarah Kanan 
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka

Dr. Mat Redhuan Samsudin
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka

Encik Adib Hassan
Pensyarah 
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka

Dr. Sarman Mohamad
Pensyarah Kanan 
Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka