Program Imarah Ramadan Siri 3: Jejak Ilmu & Keindahan Warisan di Masjid Imanul Fa'izin

Program Imarah Ramadan Siri 3: Jejak Ilmu & Keindahan Warisan di Masjid Imanul Fa'izin

MELOR, 11 Mac – Program Imarah Ramadan Siri 3 bertemakan “Jejak Ilmu & Keindahan Warisan” telah berjaya dilaksanakan di Masjid Imanul Fa’izin, Melor, Kelantan. Program ini merupakan anjuran bersama Perpustakaan Tengku Anis dan Unit Pentadbiran UiTM Kampus Kota Bharu sebagai salah satu inisiatif universiti dalam mengimarahkan bulan Ramadan melalui aktiviti pengisian ilmu, kebajikan dan pengukuhan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.

Program ini dianjurkan bagi memberi ruang kepada masyarakat untuk mendalami ilmu agama di samping menghayati keindahan warisan institusi masjid sebagai pusat penyebaran ilmu dan pembangunan ummah. Kehadiran peserta yang terdiri daripada warga UiTM serta komuniti setempat turut memeriahkan program ini dan menunjukkan sokongan terhadap usaha murni yang dilaksanakan.

Pengisian utama program ialah kuliah Ramadan yang telah disampaikan oleh Dr. Mohd Miqdad Aswad Ahmad. Dalam perkongsian tersebut, beliau menekankan kepentingan mengaplikasikan "common sense" atau akal budi dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam konteks perhubungan sesama manusia.

Selain sesi kuliah, program ini turut diserikan dengan majlis penyampaian sumbangan kepada Imam masjid iaitu Encik Mohamad Mukhlis Zamri yang telah disampaikan oleh Profesor Madya Ts. Dr. Khalid Abdul Wahid, selaku Penolong Rektor UiTM Kampus Kota Bharu. Sumbangan yang diberikan merupakan tanda keprihatinan pihak universiti.

Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan kampus atas sokongan, kerjasama dan kepercayaan yang diberikan bagi menjayakan program ini. Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada para penderma sumbangan yang telah memberikan sumbangan dengan penuh keikhlasan demi membantu menceriakan masjid.

Secara keseluruhannya, Program Imarah Ramadan Siri 3 ini bukan sahaja berjaya memberikan pengisian ilmu yang bermanfaat kepada para peserta, malah turut memperkukuh nilai kebersamaan, keprihatinan sosial dan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform berimpak tinggi dalam memperkasa budaya ilmu serta mengimarahkan institusi masjid sebagai pusat pembangunan komuniti.

Penyedia Laporan:
Puan Rosmariyati Ab Rahman
Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP)
UiTM Kampus Kota Bharu