PASIR MAS, 2 Februari - Fakulti Sains Maklumat (FSM), UiTM Cawangan Kelantan (UiTMCK) telah berjaya menganjurkan program khidmat masyarakat bertajuk 'Design Beyond: Ignite Your Creativity with Canva' pada 7 Januari 2026. Program yang berlangsung dari jam 8:00 pagi hingga 3:00 petang ini telah diadakan di Hospital Pasir Mas (HPM), Kelantan, dengan kerjasama strategik daripada pihak hospital, CelcomDigi Berhad, dan Misi Akademik UiTMCK.
Program ini telah dianjurkan oleh para pelajar semester akhir Diploma Pengurusan Maklumat (D1CDIM1105C) dengan objektif utama untuk memberi pendedahan kepada komuniti mengenai kemahiran reka bentuk digital menggunakan platform Canva. Selain meningkatkan literasi digital dan kreativiti staf hospital yang terdiri daripada pegawai perubatan dan kakitangan sokongan, program ini juga bertujuan memperkukuh kemahiran insaniah dan kepimpinan mahasiswa UiTM melalui aktiviti luar kampus.
Program dimulakan dengan Bengkel Asas Canva yang dikendalikan oleh Ts. Inv. Mohd Zafian Mohd Zawawi, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Maklumat, UiTMCK. Dalam slot ini, peserta diajar untuk menghasilkan bahan visual profesional seperti poster kesedaran kesihatan, infografik, dan sijil digital yang relevan dengan identiti korporat hospital. Seterusnya, suasana menjadi lebih interaktif melalui Slot Quizizz, iaitu kuiz atas talian yang menguji pemahaman teori peserta dalam suasana santai.
Kemuncak program adalah Sesi Amali (Hands-on Design), di mana peserta dibahagikan kepada enam kumpulan untuk menghasilkan poster bertemakan "Gaya Hidup Sihat" dengan bimbingan mahasiswa UiTM sebagai fasilitator. Majlis penutup telah dirasmikan oleh Dr. Nor Laili Sabariah Mohd Ghazali, Pengarah Hospital Pasir Mas.
Berdasarkan laporan kaji selidik, 100% peserta bersetuju bahawa program ini sangat berjaya dan bermanfaat, malah mereka menyatakan minat yang tinggi untuk menyertai program seumpama ini lagi pada masa hadapan. Kejayaan ini membuktikan komitmen UiTMCK dalam melahirkan graduan yang kompeten serta mampu menyumbang khidmat bakti yang berimpak tinggi kepada masyarakat.
Penyedia Laporan:
Saudari Nur Syamimi Afiqah Zulkifli
Timbalan Pengarah
Program Design Beyond: Ignite Your Creativity with Canva

