KUANTAN, 19 Januari – Projek MycoLAB Nexus UiTM Cawangan Kelantan yang merupakan hasil kerjasama strategik bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), telah mengorak satu langkah progresif melalui pelaksanaan Program Pembangunan Komuniti yang dikenali sebagai Projek Cendawan Urban Farming di Kem 1 KAD, 4 Briged Mekanize (Mek), Pahang pada 17 Januari 2026.
Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan institusi pengajian tinggi khususnya UiTM dalam menyokong agenda pemerkasaan komuniti melalui pemindahan ilmu, teknologi dan kemahiran keusahawanan secara lestari. Projek ini melibatkan seramai 20 orang peserta, terdiri daripada ahli-ahli BAKAT iaitu isteri-isteri anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menetap di Kem 1 KAD sebagai kumpulan sasar utama.
Para peserta disediakan dengan dua unit rumah MycoLAB, dengan setiap unit dilengkapi 1,000 bongkah cendawan. MycoLAB merupakan Sistem Penanaman Cendawan Pintar yang dibangunkan oleh penyelidik UiTM Cawangan Kelantan yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Syerina Azlin Md Nasir bersama ahli pasukan iaitu Dr. Hatinah Abu Bakar, Dr. Nurazleena Ismail, Encik Nik Mohammad Wafiy Azmi, Encik Nabil Fikri Mohd Salleh, Encik Mohd Zaidi Yaacob, Encik Wan Muhammad Syukri Wan Norjik dan Encik Mohd Rosli Ismail.
MycoLAB merupakan satu integrasi teknologi Internet of Things (IoT) yang berfungsi untuk memantau dan mengawal persekitaran penanaman secara automatik. Selain itu, sistem pemantauan hasil penuaian turut dibangunkan bagi membolehkan rekod hasil tuaian direkodkan secara sistematik dan berstruktur. Inisiatif ini diharapkan dapat menjadi model pembangunan komuniti berimpak tinggi dalam memperkasa ekonomi ahli-ahli BAKAT ATM, di samping menyokong keterjaminan makanan serta menjana pendapatan tambahan kepada para peserta yang terlibat.
Penyedia Laporan:
Dr. Hatinah Abu Bakar
Pensyarah Kanan
Fakulti Pengurusan & Perniagaan

