Program Aspirasi Gemilang: 'The Last Journey'

Program Aspirasi Gemilang: 'The Last Journey'

KOTA BHARU, 19 Januari - Program Aspirasi Gemilang: 'The Last Journey' yang dianjurkan oleh Kelab D’Makers telah berjaya dilaksanakan pada 3 Januari 2026 (Sabtu) sebagai sebuah program pembangunan pelajar yang berlangsung selama satu hari di UiTM Cawangan Kelantan Kampus Kota Bharu. Program ini melibatkan penyertaan pelajar daripada jurusan Pengurusan Perniagaan (Pemasaran) serta pelajar daripada kursus lain, bersama penglibatan barisan Ahli Jawatankuasa Kelab D’Makers dan penasihat kelab yang bertindak sebagai pemudah cara sepanjang program berlangsung.

Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Dr. Md Khairu Amin Ismail, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Pengurusan & Perniagaan serta para pensyarah bagi memberikan pengiktirafan rasmi kepada pelajar cemerlang, sekali gus menzahirkan sokongan pihak pengurusan universiti terhadap usaha pembangunan sahsiah dan kerjaya pelajar. Penganjuran program ini secara tidak langsung telah menyumbang ke arah pengukuhan jaringan kerjasama antara pihak universiti dan industri, di samping menyediakan platform pendedahan awal kepada para pelajar berkaitan hala tuju kerjaya selepas tamat pengajian.

Sepanjang pelaksanaan program, perjalanan majlis telah disusun secara teratur dan sistematik bermula dengan sesi pendaftaran peserta, diikuti ucapan aluan serta bacaan doa sebagai pembukaan rasmi program. Program seterusnya diteruskan dengan pengisian utama yang merangkumi ucapan daripada pihak pengurusan, sesi penyampaian penghargaan dan pengiktirafan kepada pelajar cemerlang, serta perkongsian aspirasi berkaitan persediaan menghadapi cabaran dunia profesional dan keperluan industri semasa. Bagi menambah kemeriahan dan mewujudkan suasana yang lebih santai, beberapa persembahan istimewa daripada pelajar turut diadakan sebagai elemen hiburan berinformasi. Majlis kemudiannya diakhiri dengan sesi bergambar dan jamuan makan malam sebagai tanda penghargaan kepada semua pihak yang terlibat.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektif yang ditetapkan, malah berperanan sebagai pemangkin semangat kepada pelajar untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam akademik serta penglibatan kokurikulum secara berterusan.

Penyedia Laporan:
Saudari Nuraida Mohd Hidhri
Setiausaha
Kelab D'Makers