Kejohanan Catur Peringkat Negeri Kelantan: Lebih 200 Pelajar dari 7 Negeri Terlibat di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan

Kejohanan Catur Peringkat Negeri Kelantan: Lebih 200 Pelajar dari 7 Negeri Terlibat di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan

MACHANG, 6 Januari - Program anjuran bersama para pelajar Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Perniagaan Kursus EVM490 UiTM Cawangan Kelantan telah berjaya menganjurkan Kejohanan Catur UiTM Cawangan Kelantan yang berlangsung dengan penuh meriah di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan. Majlis perasmian kejohanan ini telah disempurnakan oleh Dr. Yuslina Yusoff, selaku Penasihat Program Catur Tournament UiTM Kelantan, yang menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif pelajar dalam menganjurkan acara sukan berskala besar serta usaha berterusan dalam pembangunan bakat muda di peringkat sekolah.

Program yang bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang pada 2 Januari 2025 ini telah mencatatkan penyertaan lebih 200 orang pelajar sekolah dari 7 buah negeri di seluruh Malaysia. Penyertaan merentas negeri ini membuktikan kejohanan ini bukan sahaja berjaya menarik minat di peringkat negeri Kelantan, malah turut mendapat pengiktirafan di peringkat kebangsaan sebagai platform kompetitif bagi bakat catur muda.

Pengurusan teknikal kejohanan telah dikendalikan secara profesional oleh barisan arbiter berpengalaman dan bertauliah iaitu Tuan Mohd Azizul Mat Daud, Presiden Persatuan Catur Negeri Kelantan; Tuan Mohd Sharidan Harun, Pengerusi Teknik Catur Negeri, Majlis Sukan Sekolah Negeri Kelantan; serta Tuan Haziz Harun, Pengerusi Teknik Catur Daerah Machang, Majlis Sukan Sekolah Negeri Kelantan. Kejohanan ini turut diserikan dengan kehadiran International Master Mas Hafizulhilmi Agus bersama anak beliau yang menjadi sumber inspirasi dan motivasi kepada para peserta muda.

Bagi menghargai pencapaian peserta, jumlah wang tunai keseluruhan sebanyak RM2,760 telah diperuntukkan, yang merangkumi hadiah utama bagi kategori U10, U12 dan U18. Selain itu, hadiah khas sekolah serta hadiah terbaik mengikut kategori umur turut disediakan sebagai pengiktirafan kepada peserta dan sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang. Penyediaan hadiah ini bertujuan meningkatkan motivasi, menggalakkan persaingan sihat serta menyokong pembangunan bakat muda dalam sukan catur.

Kejohanan ini berjaya menyediakan platform pembangunan bakat pelajar sekolah, mengukuhkan jaringan kerjasama antara UiTM dan badan sukan negeri serta membuktikan keupayaan pelajar EVM490 dalam merancang dan melaksanakan acara berskala besar secara profesional. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pihak pengurusan UiTM Cawangan Kelantan, para penaja, barisan arbiter serta semua sukarelawan atas komitmen dan kerjasama yang diberikan. Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua pemenang serta peserta atas semangat kesukanan yang tinggi sepanjang kejohanan berlangsung.

Penyedia Laporan:
Saudari Wan Nur Afiqah Wan Bahari
Setiausaha
Kejohanan Catur UiTM Cawangan Kelantan