PASIR MAS, 5 Januari - Fakulti Seni Lukis & Seni Reka dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni (PJIM&A), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kelantan telah menganjurkan program komuniti bertemakan kelestarian bertajuk “Seni Dari Sisa: Transformasi Guni Baja” yang melibatkan seramai 28 orang peserta dalam kalangan Peladang Muda Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut. Program ini telah dijalankan pada 1 Januari 2026 bertempat di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan Kubang Bunut , Meranti Pasir Mas, Kelantan.
Program yang dilaksanakan ini bertujuan memperkasakan komuniti setempat melalui pendekatan seni kreatif dengan mengaplikasikan bahan sisa pertanian, khususnya guni baja, sebagai medium transformasi kepada produk seni dan dekorasi yang bernilai tambah serta mesra alam. Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Aimi Hj. Jusoh, Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan. Turut hadir ialah Dr. Norzieha Mustapha, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Nani Hartina Ahmad Ketua Pusat Pengajian FSSR, serta barisan kepimpinan Pertubuhan Peladang Negeri Kelantan (PPNK), Tuan Haji Asha'ari Che Ali, Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPK Kubang Bunut dan wakil dari UiTM Cawangan Kelantan.
Dalam ucapan YBhg. Dato’ Aimi menzahirkan penghargaan terhadap inisiatif kerjasama strategik antara institusi pengajian tinggi dan komuniti peladang yang bukan sahaja menyokong agenda kelestarian alam sekitar, malah berpotensi menjana nilai ekonomi melalui industri kreatif berasaskan bahan kitar semula. Program diteruskan dengan sesi bengkel interaktif dan aktiviti amali yang dikendalikan oleh pensyarah serta fasilitator berpengalaman daripada UiTM Cawangan Kelantan.
Antara pengisian utama ialah slot bertajuk “Guni Baja – Dari Sisa ke Seni” yang memberi pendedahan kepada peserta tentang potensi bahan sisa pertanian sebagai medium seni. Peserta seterusnya terlibat secara langsung dalam bengkel rekaan dan penghasilan dekorasi guni secara berkumpulan. Kemuncak program menyaksikan sesi pembentangan hasil kerja kumpulan oleh peserta yang dinilai oleh panel juri, sekali gus mempamerkan kreativiti, inovasi serta tahap kefahaman peserta terhadap konsep guna semula dan transformasi bahan sisa.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif pemindahan ilmu dan kemahiran, di samping memperkukuh hubungan strategik antara UiTM dan komuniti setempat sejajar dengan aspirasi universiti dalam memacu jaringan masyarakat berimpak tinggi dan pembangunan lestari.
Penyedia Laporan:
Dr. Nani Hartina Ahmad
Ketua Pusat Pengajian
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
Dr. Wan Noraswaniaty Wan Ahmad
Koordinator ICAN
Encik Junaidi Awang
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
Puan Rohaizan Mat Nashir@Mohd Nasir
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka
Encik Yusof Daud@Ismail
Pensyarah Kanan
Fakulti Seni Lukis & Seni Reka

