MACHANG, 4 Januari - Program Karnival INFOfest Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan telah dilaksanakan selama dua hari, iaitu pada 31 Disember 2025 hingga 1 Januari 2026, sebagai satu inisiatif pembelajaran berasaskan pengalaman yang berteraskan Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM). Karnival ini telah dirasmikan oleh Profesor Dr. Mohd Afandi Mat Rani, Rektor UiTM Cawangan Kelantan, yang dalam ucapannya menegaskan kepentingan penganjuran program berimpak tinggi yang menggabungkan elemen akademik, pembangunan sahsiah serta penglibatan komuniti. Menurut beliau, inisiatif seumpama ini bukan sahaja memperkasa pengalaman pembelajaran pelajar, malah mencerminkan komitmen UiTM sebagai universiti yang menyumbang secara langsung kepada masyarakat.
Program ini merupakan anjuran Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan, yang digerakkan sepenuhnya oleh pelajar semester akhir sebagai sebahagian daripada pembelajaran berasaskan pengalaman, dengan kerjasama PEWANI UiTM Cawangan Kelantan. Penganjuran karnival ini diterajui oleh Pengarah Program, Saudari Nur Auni Asfarina Junaidi, bersama barisan jawatankuasa pelajar yang komited dan berdisiplin tinggi.
Kejayaan penganjuran INFOfest ini turut diperkukuh dengan bimbingan strategik dan kepimpinan berwawasan daripada penasihat program, Puan Siti Aswani Dato' Mohd Ghazali, yang juga merupakan Timbalan Pengerusi PEWANI UiTM Cawangan Kelantan, bersama Puan Nur Shaliza Sapiai, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Maklumat. Kepakaran serta pengalaman kedua-dua penasihat ini telah menjadi tunjang utama kepada kelancaran perancangan dan pelaksanaan program, selari dengan aspirasi SULAM dan universiti untuk masyarakat.
Program ini turut mendapat sokongan penuh pihak pengurusan universiti dengan kehadiran Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Kelantan, bersama Ketua Pusat Pengajian serta para Koordinator Program Diploma dan Ijazah Fakulti Sains Maklumat. Kehadiran barisan kepimpinan akademik ini mencerminkan komitmen berterusan fakulti dan universiti dalam menyokong inisiatif pembangunan pelajar serta pelaksanaan pembelajaran berasaskan pengalaman yang berimpak tinggi. Sebagai inisiatif SULAM, Karnival INFOfest melibatkan penyertaan pelbagai agensi kerajaan dan swasta antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), CelcomDigi, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Kedai Buku Banggol serta Askar Wataniah. Kesemua agensi ini telah mengadakan pameran dan sesi rundingan secara langsung kepada orang ramai, sekali gus memberi pendedahan praktikal, maklumat sahih serta khidmat nasihat kepada pelajar dan komuniti setempat.
Karnival ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan permainan seperti Rumah Hantu, Komputer Game dan Gel Blaster, yang berjaya menarik kehadiran pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat dan mewujudkan suasana karnival yang dinamik, inklusif serta mesra komuniti. Dari sudut pengisian ilmiah, INFOfest menampilkan beberapa sesi seminar dan perkongsian ilmu oleh tokoh jemputan. Antaranya seminar anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bertajuk “Dari Kebajikan ke Keusahawanan: Peranan YaPEIM dalam Pembangunan Ummah” yang telah disampaikan oleh Puan Che Nor Azila Che Ghani, Pengurus YaPEIM Negeri Kelantan. Turut diadakan ialah seminar “Grow Your Hustle” yang disampaikan oleh Saudara Nik Alif Nik Aiman, selain slot “Dari Universiti ke Dunia Sebenar: Kerjaya dan Peluang Keusahawanan” oleh Tuan Haji Azian Haji Muhammad, Pengarah Medica Pharmacy. Isu etika digital pula dibincangkan menerusi seminar “Think Before You Share: Etika Digital dalam Kehidupan Mahasiswa” yang disampaikan oleh Che Muhammad Haniff Che Khalid, mantan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM Cawangan Kelantan. Manakala sesi “Brainwave Boost: Think Faster, Learn Better” telah disampaikan oleh Dr. Afif Mohd Ridzwan, Pengarah Al-Farhain Medical Centre Sdn. Bhd., yang memberi penekanan kepada pembangunan potensi minda, kecekapan pembelajaran serta kesejahteraan pelajar.
Penganjuran Karnival INFOfest ini jelas membuktikan komitmen berterusan UiTM Cawangan Kelantan dalam mendukung agenda Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), di samping melahirkan graduan holistik yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, malah berupaya menyumbang secara bermakna kepada pembangunan komuniti dan negara.

