SHAH ALAM, 18 Disember – Anugerah Kecemerlangan Residensi Mahasiswa UiTM (AKRM) 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada hari Jumaat, 12 Disember 2025 bertempat di Dewan Anjung Seri Budiman, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam. Majlis anugerah berprestij peringkat kebangsaan ini merupakan acara tahunan yang mengiktiraf kecemerlangan Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Non-Resident (JPKNR) UiTM dalam aspek kepimpinan, pengurusan serta pelaksanaan program berimpak tinggi di kolej kediaman dan komuniti non-resident.
Majlis AKRM 2025 telah dirasmikan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib, Naib Canselor UiTM. Turut hadir ialah YBrs. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Sahibi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), bersama barisan Rektor UiTM Cawangan, Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar Cawangan, pengetua kolej kediaman, staf pengurusan serta kepimpinan pelajar dari seluruh sistem UiTM.
Majlis ini menghimpunkan finalis daripada 10 UiTM Cawangan Negeri termasuk UiTM Cawangan Kelantan, selain penyertaan tujuh (7) Jawatankuasa Perwakilan Kolej dan Non-Resident dari UiTM Induk, UiTM Shah Alam. Penyertaan yang menyeluruh ini mencerminkan kedudukan AKRM sebagai platform pengiktirafan nasional yang berperanan penting dalam menetapkan penanda aras kecemerlangan pengurusan dan kepimpinan residensi mahasiswa UiTM.
Sebanyak 226 penyertaan telah diterima merangkumi 17 kategori pertandingan, yang menilai pelbagai aspek pengurusan, inovasi, kepimpinan serta keberkesanan program kolej kediaman dan non-resident. Jumlah penyertaan yang tinggi ini memperlihatkan komitmen berterusan serta daya saing sihat dalam kalangan kepimpinan pelajar UiTM di seluruh negara dalam memperkasa ekosistem residensi mahasiswa.
Pada AKRM 2025, UiTM Cawangan Kelantan telah mencatatkan pencapaian yang amat membanggakan di peringkat kebangsaan apabila berjaya meraih pelbagai pengiktirafan merangkumi aspek keusahawanan, sukan dan rekreasi, wacana intelek, kebudayaan serta pengucapan awam. Kejayaan meraih Anugerah Emas bagi Program Keusahawanan Terbaik dan Program Sukan dan Rekreasi Terbaik, di samping Anugerah Perak bagi Program Wacana Intelek Terbaik serta Anugerah Gangsa bagi Program Kebudayaan Terbaik dan Program Pengucapan Awam Terbaik, membuktikan keupayaan kepimpinan JPKNR UiTM Cawangan Kelantan dalam merancang dan melaksanakan program yang berimpak, seimbang dan menyeluruh selaras dengan aspirasi universiti.
Selain itu, UiTM Cawangan Kelantan turut dinobatkan sebagai Naib Johan (Perak) Keseluruhan AKRM 2025, manakala kategori JPK Kolej Kediaman/Non-Resident Terbaik Keseluruhan (UiTM Cawangan) telah dimenangi oleh UiTM Cawangan Kelantan (Emas). Pengiktirafan ini mencerminkan kecekapan pengurusan, keberkesanan kepimpinan serta tahap profesionalisme tinggi dalam mentadbir residensi mahasiswa di peringkat cawangan.
Kejayaan turut diraih dalam kategori Anugerah Khas PIMPIN – Penasihat Terbaik apabila Encik Wan Mohd Firdaus Wan Mohamad, selaku Ketua Staf Residen Kolej UiTM Cawangan Kelantan, menerima Anugerah Perak. Pengiktirafan ini menzahirkan peranan signifikan barisan staf residen dalam membimbing, menyelaras serta memperkukuh pelaksanaan program dan kepimpinan Jawatankuasa Perwakilan Kolej secara berterusan.
Secara keseluruhan, AKRM 2025 bukan sahaja menjadi medan pengiktirafan kecemerlangan residensi mahasiswa UiTM, malah berfungsi sebagai platform penanda aras serta perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan kolej kediaman dan non-resident. Kejayaan yang dicapai oleh UiTM Cawangan Kelantan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak pengurusan, staf residen serta kepimpinan pelajar dalam memperkukuh ekosistem residensi mahasiswa yang holistik, progresif dan berdaya saing selaras dengan hala tuju UiTM sebagai universiti terkemuka negara.
Penyedia Laporan:
Saudara Adam Mansor
Presiden
Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Abdul Razak 24/25

