Merintis Kecemerlangan Insan Penasihat Akademik CDCS240 & CDCS110

Merintis Kecemerlangan Insan Penasihat Akademik CDCS240 & CDCS110

MACHANG, 18 Disember - Program Merintis Kecemerlangan Insan Penasihat Akademik CDCS240 & CDCS110 telah berlangsung pada 2 Disember 2025 (Selasa) bertempat di Dewan Profesional, UiTM Cawangan Kelantan. Program ini telah dianjurkan oleh Persatuan Information Technology Community (ITCOMM) dan Kelab Science Computer Society (SCiCO) dengan sokongan penuh daripada 44 orang ahli jawatankuasa. Seramai 234 orang pelajar CDCS110 dan CS240 serta 21 orang Penasihat Akademik (PA) telah hadir bagi menjayakan program ini.

Majlis ini dirasmikan oleh Dr. Suriana Alias, selaku Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Komputer dan Matematik, seterusnya disusuli dengan ucapan daripada kedua-dua Koordinator Program iaitu Cik Noorfadzilah Arifin (Koordinator CDCS240) dan Puan Marina Ahmad (Koordinator CDCS110).

Penganjuran program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai peranan dan fungsi Penasihat Akademik dalam perjalanan akademik mereka. Ia juga menggalakkan interaksi mesra antara pelajar dan PA dalam suasana santai serta harmoni. Program ini turut membuka ruang komunikasi dua hala secara lebih terbuka dan berkesan bagi memperkukuh hubungan profesional serta membantu pelajar mencapai matlamat akademik yang dirancang. Pelajar digalakkan untuk lebih proaktif berinteraksi bersama PA dalam menyusun strategi akademik yang sesuai dengan keperluan mereka.

Antara pengisian utama ialah slot Open Box dan Writing Box, di mana para pelajar  diberi peluang meluahkan perasaan, kegusaran, cabaran pembelajaran serta perkara yang sukar disuarakan secara lisan melalui penulisan yang dimasukkan ke dalam kotak khas. Penasihat Akademik kemudian membaca setiap luahan dengan penuh empati dan memberikan nasihat, dorongan serta panduan akademik yang sesuai. Slot ini berjaya mewujudkan suasana selamat dan menyentuh hati, sekaligus mengeratkan hubungan antara pelajar dan PA.

Selain itu, kehadiran pelajar tetap meriah walaupun keadaan di Kelantan ketika itu dilanda banjir dan kampus menjalankan pembelajaran secara hibrid. Situasi ini menunjukkan komitmen tinggi para pelajar untuk hadir serta kesungguhan mereka dalam menghargai peluang berinteraksi bersama Penasihat Akademik. Ia juga membuktikan bahawa program ini mampu menarik minat serta memperoleh sambutan yang sangat positif meskipun berdepan cabaran keadaan semasa. Jamuan turut disediakan kepada semua pelajar yang hadir melalui sumbangan ikhlas daripada para Penasihat Akademik sebagai tanda penghargaan dan sokongan mereka terhadap program ini.

Penyedia Laporan:
Saudari Nur Farranina Fitri Abdullah
Setiausaha Information Technology Community (ITCOMM)
Merangkap Pengarah
Program Merintis Kecemerlangan Insan Penasihat Akademik CDCS240 dan CDCS110