KOTA BHARU, 30 Oktober - Lawatan Randau bersama pengurusan UiTM Cawangan Kelantan telah diadakan pada 12 Oktober 2025, bermula pada jam 8.30 malam dan berakhir pada jam 11.00 malam di Asrama Manzil Jawhari, Kota Bharu, Kelantan. Asrama ini terdiri daripada enam pintu, setiap satu mempunyai dua tingkat, dengan kapasiti penuh sebanyak 40 orang pelajar lelaki dan 110 orang pelajar perempuan. Program ini dianjurkan oleh Unit Pengurusan Non-Residen (UPNR) dengan kerjasama Jawatankuasa Perwakilan Non-Residen (JPNR) dan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Objektif utama penganjuran adalah untuk memperkukuh hubungan silaturahim, meningkatkan komunikasi serta memperdalam kefahaman bersama antara pihak pengurusan universiti dan pelajar yang tinggal di luar kampus.
Melalui program ini, pihak universiti berpeluang melihat sendiri keadaan persekitaran kediaman pelajar di luar kampus, sekali gus mengenal pasti isu serta cabaran yang dihadapi dalam kehidupan seharian mereka. Sesi randau yang dijalankan telah memberi ruang kepada pelajar untuk berinteraksi secara terbuka bersama pihak pengurusan bagi menyuarakan pandangan, cadangan serta keperluan semasa berkaitan kebajikan, keselamatan, kemudahan asas dan kesejahteraan sosial mereka.
Selain berfungsi sebagai medium komunikasi dua hala yang berkesan, program ini turut menjadi platform pendidikan dan kesedaran berhubung langkah keselamatan diri, tatacara menghadapi kecemasan seperti kebakaran, kemalangan dan kecurian, serta kepentingan memelihara keharmonian komuniti kediaman. Pelaksanaan program ini juga mencerminkan keprihatinan dan komitmen tinggi universiti dalam memastikan kebajikan pelajar luar kampus sentiasa diberi perhatian.
Secara keseluruhannya, program ini diharapkan dapat menjadi satu inisiatif berterusan untuk memperkukuh jaringan komunikasi, membina kepercayaan dan menzahirkan komitmen universiti dalam menyantuni kebajikan pelajar di luar kampus secara holistik dan menyeluruh.
Penyedia Laporan:
Puan Johannis Ahmad Sohaimi
Pegawai Eksekutif Kanan
UiTM Kampus Kota Bharu

