Kembara Virtual Dari Asia Ke Oceania Dalam Mengharungi Pembelajaran Norma Baharu Ketika Pandemik COVID-19

SABTU 21 NOVEMBER 2020, Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan buat julung kalinya telah menjalinkan kerjasama antara 4 buah negara dalam program terkini mereka.

Online learning atau lebih dikenali sebagai ODL (Open and Distance Learning) ini bukanlah sesuatu perkara yang mudah untuk pelajar mahupun pendidik bagi mengadaptasikan diri dengan anjakan yang dilakukan, seiring dengan perubahan dunia pengajian tinggi dalam menghadapi pandemik global.

Meskipun dalam keadaan kini, kehidupan secara norma baharu perlu diadaptasi dek kerana pandemik COVID -19. Namun, perkara ini langsung tidak menghalang serta jauh sekali untuk mematahkan semangat ahli-ahli Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan bagi terus menjalankan sebuah program yang mampu memberikan impak positif dalam pembangunan mahasiswa, diri sendiri serta universiti.

Perkara ini jelas dilihat apabila Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan telah mengadakan satu program yang berimpak tinggi. Program A Journey from Asia to Oceania: Embracing the Norm in Education ini telah diadakan pada 21 November 2020 serta telah berlangsung bermula jam 11.00 A.M sehingga 1.00 P.M (waktu Malaysia).

Program ini diadakan bertujuan untuk membawa aktiviti pembangunan mahasiswa ke peringkat yang lebih tinggi iaitu peringkat antarabangsa. Perkara ini telah menarik minat mahasiswa dan masyarakat luar untuk memberikan sokongan bersama kerana jumlah peserta bagi program ini adalah sebanyak 533 yang terdiri daripada mahasiswa dalam dan luar negara, serta  jumlah tontonan yang semasa siaran langsung di medium Facebook Live ini telah merekodkan sebanyak 1,300 tontonan.

Perkara yang menjadi tarikan utama bagi program ini adalah para panel yang dijemput khas daripada 4 buah negara termasuk negara Malaysia sendiri.  Program ini telah menjalinkan kerjasama bersama Badan Perhubungan Sydney, Australia, Universitas Negeri Medan, Indonesia, serta Toyohashi University of Technology, Japan. Program ini telah dirasmikan oleh Prof. Madya Dr. Haji Zulkifli Mohamed Rektor UiTM Cawangan Kelantan. Di samping itu, program ini telah mendapat bimbingan daripada penasihat kelab ini sendiri iaitu  Encik Meer Zhar Farouk Bin Amir Razli serta Dr. Nazhatul Sahima Binti Mohd Yusoff. Para panel forum yang telah menghangatkan program tersebut ialah Muhammad Faizuddin Bin Mohd Nasir iaitu Presiden Prime Mover UiTM Cawangan Kelantan Malaysia, Hanis Fatehah Binti Lofti merupakan Presiden Badan Perhubungan Sydney, Australia, Raden Arjuna Surbakti iaitu wakil Ketua Badan Eksekutif Mahasiswa Universitas Negeri Medan, Indonesia, serta Ziadatulimaniah Binti Abd Rahman yang merupakan wakil pelajar Toyohashi University of Technology, Japan. Program ini juga telah dihoskan oleh saudari Nur Husna Afiqah Binti Azahar, Tokoh Siswa UiTM Cawangan Kelantan 2019. Saudari Nur Husna Afiqah Bt Azahar juga merupakan pengarah projek bagi program ini.  Matlamat utama program ini diadakan bertujuan untuk memberi ruang dan peluang kepada mahasiswa di dalam negara mahupun luar negara bagi membincangkan serta berkongsi sedikit sebanyak pengalaman mereka dalam menghadapi cabaran COVID-19.

Tambahan pula,program ini dilihat sebagai sebuah medium yang sesuai bagi masyarakat khususnya mahasiswa berkongsi input-input dalam mengharungi norma pembelajaran yang baharu seterusnya mencari jalan penyelesaian yang terbaik bagi cabaran dan halangan yang mendatang.

Kerjasama yang telah dijalinkan bersama ini sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa UiTM dan mahasiswa antarabangsa.

Program yang telah dijalankan ini begitu bermanfaat kepada para mahasiswa dan masyakat diluar sana. Hal ini kerana, program ini dijalankan secara terbuka dan penyertaannya adalah percuma. Diharap agar program yang berimpak tinggi seperti ini akan dapat diteruskan dengan lebih kerap dan mendapat sokongan supaya pelbagai ilmu baharu serta lebih banyak manfaat yang boleh diperolehi melalui program-program tersebut. Sekali gus, dapat meningkatkan lagi pembangunan mahasiswa kearah yang lebih cemerlang.

 

Pengarang : Nurul Hidayatul Aini Khairul Anuar

(Exco pendokumentasian bagi program a Journey from Asia : Embracing The Norm in Education to Ocenia)