Penyertaan Pusat Jaringan Alumni (ANC), Pusat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) dan UiTM Cawangan Kelantan di Konvensyen Usahawan Alumni Awam Kali Ke-2

BACHOK, 31 Mac - Pusat Jaringan Alumni (ANC), Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) selaku penganjur utama bersama UiTM Cawangan Kelantan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berjaya menganjurkan Konvensyen Usahawan Alumni Awam Kali Ke-2 bertemakan Cakna Alumni Memperkasa Usahawan. Program telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 Mac 2022 di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Bachok.  Pengarah Pusat Jaringan Alumni, Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti dan jawatankuasa utama telah hadir sepanjang program. Prof. Madya Dr. Zulkifli Mohamed, Menjalankan Tugas Rektor UiTMCK turut memeriahkan program bersama Timbalan Rektor PJIA UiTM Cawangan Kelantan, Dr. Syerina Azlin Md Nasir.

Penganjuran program berimpak tinggi ini adalah bagi mendokong aspirasi daripada Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) melalui Pelan Tindakan Keusahawanan Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025 yang bertujuan untuk memartabatkan keusahawanan dalam memperkasakan negara di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT). 

Program ini mendapat sambutan yang hangat dalam kalangan 20 IPTA di Malaysia seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP),  Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaya (UM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan lain-lain universiti.

Terdapat pelbagai aktiviti keusahawanan seperti pameran dan jualan oleh para usahawan alumni dan sesi perkongsian ilmu keusahawananan telah berlangsung. UiTM Cawangan Kelantan berbesar hati dengan penyertaan empat (4) usahawan alumni iaitu Encik Fadhlullah Bahrunnizam selaku pemilik syarikat iBahrunHolding Sdn Bhd, Encik Muhammad Faizol Ridhzuan Razak-Faizol (Dtimur Agrofarm), Encik Muhammad Razzin Jazmy Jalaluddin (Kek Coklat Leleh Waffy) dan Encik Mohd Azrie Mat Nor (Nebula Horizon Sdn. Bhd.). UiTM turut berbesar hati kerana usahawan alumni Encik Mohd Azrie turut dijemput untuk menjadi salah seorang penceramah dalam slot ‘Sesi Perkongsian Pengalaman Mentor Usahawan Alumni’.

Majlis Makan Malam bersama Majlis Alumni Universiti Awam bersempena Konvensyen Usahawan Alumni kali ke-2 turut diadakan bersama para penganjur utama dan peserta program.  Program berakhir pada 27 Mac 2022 dengan sesi rumusan dan beberapa resolusi konvensyen telah dicapai.  Program ini bakal diteruskan lagi menjelang dua (2) tahun akan datang (2024) di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).  Sesi penyerahan gegantung pendaftaran MyAlumni UiTM oleh Pusat Jaringan Alumni melalui Pengarah Pusat Jaringan Alumni, Prof. Madya Datin Sri Dr. Nazura Mohamed Sayuti kepada UiTM Cawangan Kelantan melengkapkan Sesi Jelajah MyAlumni UiTM pada kali ini.

#PJIAICANUiTMCK

#PejabatAlumniNetworkCentre

#ICANUiTM2022

#UiTMCK #ALUMNI

#UiTMdihatiku

#UiTMCawanganKelantan